Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang
perindustrian termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan
Malaysia yang menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti
komputer riba, cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan
pembelajaran dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian,
adalah perlu untuk setiap pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama
ada yang berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan
meningkatkan minat dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik pembelajaran.
Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan
kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah
menengah. Justeru, pihak pengurusan pendidikan baik di peringkat negeri mahupun
di peringkat kebangsaan sentiasa mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan
pembelajaran terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses
pengajaran dan pembelajaran (Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi
teknologi maklumat dan komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah
antara usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan
menengah.
Kepentingan Internet Kepada
Guru
Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang
mengaplikasikan kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti
pengajaran dan pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd
Saad(1996), abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan
dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi,
industri dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi
multimedia telah meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah
aktiviti pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak manfaat kepada guru
khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Penggunaan internet ini juga mampu membentuk satu suasana
pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam mencapai setiap matlamat
dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dibentuk. Antara kelebihan
penggunaan internet dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada guru
adalah seperti mana yang berikut:-
o
Mengubah
Peringkat Membuat Keputusan : Kebiasaannya, penggunaan media dirancang semasa
kurikulum dilaksanakan, bukan semasa peringkat merancang dan menentukan
kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan media secara sesuka hati tanpa
berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan penerimaan teknologi pengajaran
pada peringkat perancangan kurikulum, perancang kurikulum dapat bekerjasama
dengan pereka pengajaran untuk menentukan penggunaan teknologi pengajaran dalam
kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih menjamin keberkesanan perlaksanaan
pengajaran dan kurikulum yang telah digariskan.
o
Mengubah
Sistem atau Pendekatan Pengajaran : Teknologi pengajaran boleh mempengaruhi
sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia boleh menukar
sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima sistem pembelajaran
jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas. Teknologi pengajaran
boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun. Sebagai contoh, kurikulum
pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan pengajaran, ia melibatkan
penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan melalui pembelajaran usaha sama,
penyelesaian masalah dan penggunaan strategi pembelajaran penguasaan. Penggunaan
teknologi pengajaran terutamanya teknologi maklumat, mungkin mengubah cara
jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti.
Proses pengajaran dan pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan
pengetahuan dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti pembelajaran dan
menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan pencarian maklumat menggunakan
teknologi baru untukpembelajaran. Pengenalan kepada jadual waktu anjal oleh KPM
pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti dalam perancangan kurikulum dan strategi
pengajaran. Ini membolehkan guru merancang pelajaran dengan lebih berkesan dan
memberi lebih masa bagi guru menyemak buku latihan dan menangani masalah
pembelajaran, sedangkan jumlah waktu mengajar adalah sama (Yusuf Hashim,
1998).
o
Mengubah
Pengalaman Pembelajaran : Tanggapan masa kini terhadap pengalaman pembelajaran
terjadi bukan secara tidak sengaja tetapi sengaja diadakan. Oleh itu, pengalaman
ini perlu diadakan melalui perancangan yang rapi. Penggunaan atau aplikasi
teknologi pengajaran secara teratur boleh membantu setiap pelajar mendapat
pengalaman pembelajaran yang khusus (sudah tentu melalui proses tertentu) bagi
menguasai sesuatu perkara.
Secara amnya, menyifatkan teknologi pengajaran
sebagai satu bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke
arah ini jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan
visual seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru
dalam pengajaran di bilik darjah.
Implementasi PPBK Di
Malaysia
Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem
pendidikan di Malaysia telah lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan komputer
ini tidak hanya terhad di peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut
mencakupi pendidikan pada peringkat prasekolah. Pengunaan Cakera Padat
Interaktif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet
untuk tujuan capaian data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah
menjadikan sistem pendidikan negara semakin berkembang maju. Perubahan positif
ini telah mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan
komputer dan teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran
seperti mana yang akan dibincangkan kemudian.
Ashinida, Afendi dan Mohd.
Shabri (2004) adalah antara penyelidik yang ingin melihat keberkesanan
penggunaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa asing. Kajian yang dijalankan mendapati bahawa kesemua 40
respondan yang dikaji menyatakan bahawa program PPBK boleh membantu meningkatkan
kemahiran pelajar dalam Bahasa, menjimatkan masa dan tenaga semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan serta memudahkan pelaksanaan proses
pengajaran guru. Sementara itu, 90 peratus daripada respondan yang dikaji juga
menyatakan bahawa program PPBK dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan
pembelajaran murid. Statistik ini menunjukkan bahawa para guru mempunyai
persepsi yang sangat positif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab
dengan berbantukan komputer. Statistik ini dapat dirumuskan seperti dalam jadual
di bawah:-
Data yang ditunjukkan membuktikan
bahawa persepsi guru terhadap pelaksanaan program ini amatlah baik dan galakan
yang diberikan menunjukkan pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat
membantu pelajar yang mengalami kesukaran dalam memahami pendidikan
Bahasa.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan program
ini tidak hanya terhad kepada pendidikan Bahasa semata-mata. Program yang
mempunyai potensi untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran murid-murid yang
mempunyai tahap dan pencapaian akademik yang rendah perlu diperluaskan
penggunaannya khususnya terhadap murid-murid yang menerima pendidikan khas.
Rentetan daripada statistik yang ditunjukkan ini, pengkaji telah membuat
keputusan untuk melihat keberkesanan prorgam Pengajaran dan Pembelajaran
Berbantukan Komputer dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran membaca pelajar
yang menghadapi masalah menguasai aktiviti membaca. Hasil kajian yang akan
dibentuk kelak adalah suatu yang perlu dikaji dengan lebih mendalam sama ada
pelaksanaan program ini dapat meningkatkan pencapaian dan kemahiran membaca
pelajar yang menghadapai masalah pembelajaran atau sebaliknya.
Dalam kajian yang dilakukan oleh
Baharudin (2005) mendapati bahawa penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus
diberi keutamaan bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Penggunaan alat beteknologi seperti komputer dalam proses pembelajaran dan
pengajaran adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat
dan kemahiran. Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui
penggunaan komputer. Hal ini kerana penggunaan komputer dapat meningkatkan
penyerapan maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan
sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini membawa
kepada pengatasian had masa dan ruang.
Walau bagaiamanapun, menurut kajian
yang dilakukan oleh lapan orang pengkaji iaitu Rosen dan Weil (1995), Winnans
dan Brown (1992), Dupagne dan Krendl (1992) serta Hadley dan Sheingold (1993),
walau begitu sekali canggihnya komputer, namun ia perlu dilengkapkan dengan
pelbagai perisian yang berguna seperti “hardware” dan “software” yang dapat
membantu guru meningkatkan kecekapan mereka dalam memaksimumkan proses
memanipulasikan keupayaan komputer. Dengan ini, keyakinan guru meningkat dan
mudah bagi mereka untuk mencurahkan pengalaman mereka dan seterusnya membantu
para pelajar untuk bersedia menggunakan komputer.
Pendapat di atas disokong oleh seorang
pengkaji yang bernama Pedretti (1999). Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan
bahawa guru yang bijak mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai
pembaharuan dalam menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada
sasarannya. Manakala Cox (1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering
menggunakan komputer dalam melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai keyakinan
yang tinggi dalam mengunakan ICT dan lain-lain alat seperti projektor, LCT CD
dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya bahawa penggunaan alat
berteknologi seperti itu dapat meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran
menjadi lebih menarik, mudah dan lebih seronok.
Seperti mana yang telah dinyatakan,
teknologi pengajaran adalah satu konsep pengajaran dan pembelajaran yang
menjadikan kemudahan dan peralatan ICT sebagai salah satu medium utama dalam
pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah. Penggunaan komputer, laptop, LCD
projektor, cakera padat dan pelbagai elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan
bantu mengajar yang dapat menarik dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk
menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran. Melalui integrasi ICT beberapa
perubahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya
ialah perubahan fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran
berpusatkan pelajar. Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti
pembelajaran yang berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan
berdasarkan kepada teori konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya
Business @ The Speed of Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah
kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada
pendekatan ‘hands on’ dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada dalam
diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat mengikut
kapasiti masing-masing.
Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal
& Muhammad Kasim 2001), menunjukkan bahawa ICT dapat membantu mengatasi
kelemahan pendidikan sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru
dalam penggunaan komputer secara lebih produktif. Guru harus mengintegrasi
kemahiran teknologi dan peluang pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat
keberkesanan penggunaan teknologi. Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada
kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun
begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini.
Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus
menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar
menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang
bertepatan dengan isi kandungan.
Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT
dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran
melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran
yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan
menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu
mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet
dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk
meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui
portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar,
guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat
memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran
contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-satu eksperimen
sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh berulang kali
mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa dikemaskini dan
murid mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku teks yang diperbaharui
lima tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).
Melalui penggunaan komunikasi
elektronik (e mail), net meeting, chat room dan sebagainya guru dan murid dapat
bertukar-tukar idea sesama sendiri atau dengan guru dan pelajar dari sekolah
yang lain. Pertukaran maklumat dengan sekolah dari luar negara akan lebih
digalakkan memandangkan faedah dari segi meningkatkan komunikasi guru dan murid
disamping mendapat ilmu baru mengenai kebudayaan dan negara masing-masing.
Melalui penggunaan ICT pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif
seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan
menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan
melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam
pekerjaan.
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi
merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru
boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran
kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan
guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat
dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan
animasi. ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan
sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru,
pelajar dan semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para pelajar
dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran yang mereka
minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat dan Internet juga
menyediakan kebolehan interaktiviti. Berikut merupakan antara kaedah pengajaran
dan pembelajaran berbantukan komputer.
Dalam melihat perkembangan positif yang
berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada
tenaga pendidik kini telah bersedia mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan
komputer dan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Contohnya kajian yang dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru.
Kajian beliau mendapati bahawa masih terdapat lagi di kalangan tenaga pendidik
yang masih tidak tahu menggunakan cakera padat interaktif (salah satu bahan
banatu mengajar dalam pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Daripada kajian beliau, sebanyak 42
peratus guru tersebut yang mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan
cakera padat yang rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya
tahu meneroka dan menilai cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada
hasil kajian yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan
pengaplikasian cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik
ini hanya menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran mereka.
Dalam kajian yang dijalankan oleh
Sathiamoorthy (2000) terhadap kemampuan mengurus inegrasi komputer di kalangan
guru-guru Sekolah Bestari, didapati bahawa sebanyak 9.8% daripada 205 guru yang
dikaji tidak mempunyai kemampuan dalam merancang integrasi komputer dalam
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemampuan
dan kesediaan guru dalam menggunakan teknologi semasa seperti komputer, cakera
padat dan seumpamanya berada pada tahap yang tinggi.
Dalam pada itu, kajian yang dilakukan
oleh Wan Noraini (2002) juga melihat kemahiran guru terhadap penggunaan
komputer, sebanyak 42% daripada 40 orang guru yang dikaji tidak mempunyai
pengetahuan yang tinggi terhadap penguasaan dan penggunaan teknologi CD/DVD
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Walaupun kadar ini tinggi, namun
ramai respondan yang tahu mengaplikasikan teknologi CD/DVD dalam menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Kesimpulan
Kemajuan dan perkembangan yang pesat
dalam bidang teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan
masyarakat dan generasi yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir
negara pada masa akan datang. Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa
penggunaan komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu ekoran
daripada ketidak sediaan para pelajar menerimanya, namun pandangan seperti ini
perlu diperbetulkan agar semua pihak sama ada ibu bapa, penjaga, guru dan
masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan kemahiran
ini pada masa akan datang.
Adalah menjadi tanggung jawab institusi
pendidikan untuk mendidik masyarakat untuk menjadi pelapis yang benar-benar
dapat mentadbir negara dengan baik pada masa akan datang. Oleh yang demikian,
pendidikan ini perlu dilaksanakan pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak.
Penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan
pembelajaran adalah suatu yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini untuk
terus menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala halangan yang boleh
menghalang mereka dariapda menuntut ilmu.
Bibliografi
Amnon Shabo, Mark Guzdial dan John Stasko. 1997.
An Apprenticeship-ased Multimedia Cuorseware for Computer Graphics Studies
Provided on The World Wide Web. Journal of Science. 29: 2/3. 103-116
Baharudin Husin (2005). Kesediaan Guru Menggunakan
Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Menengah Daerah Pasir
Putih. Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Kebangsaan 2005, Kota Kinabalu, 1-3
Ogos, Anjuran Bahagian Pendidikan Guru
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1999
P. A. Brett dan M. Nash (1998). Multimedia
Language Learning Courseware: a design Solution ti the production of a series of
CD-ROMs. Journal of Computer and Education. 32. 19-33
Rosseni Din. (2002). Kemahiran Komputer Guru Sains
Dan Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor
Sathiamoorthy Kannan. (2002). Kajian kemampuan
Mengurus Integrasi Komputer Di Kalangan Guru-Guru Sekolah Bestari, Jurnal
Pendidikan Dan Kepimpinan pendidikan, Jilid 12, Bil.02, Disember 2002
Wan Noraini binti Wan Daud (2005). Kemahiran
Komputer Guru-guru Sains dan Matematik. Universiti Kebangsaan Malaysia
www.ftem.ukm.my/programming/bengkelC/18-zamlinal
www.usm.my/km/24-06
http//www.usm.my/km/24-06/KMART
http//eprints.utm.my/